Song Hwa tiada tandingan
PALEMBANG - Meskipun beraksi dalam kesakitan, atlet tukul besi wanita negara, Tan Song Hwa tidak berdepan masalah untuk menyumbang pingat emas kedua negara pada Sukan SEA 2011 di Palembang semalam.
Ternyata Song Hwa, 25, tiada tandingan di peringkat Asia Tenggara selepas jauh meninggalkan atlet tuan rumah, Rose Herlinda Inggriana (51.95m) di tempat kedua dan Loralie Sermona dari Filipina (49.69m) ketiga yang gagal memberikan tentangan.
Bagaimanapun, oleh kerana mengalami masalah slip disc sejak enam minggu lalu, catatan yang dibuat Song Hwa tidaklah sebaik catatan peribadi terbaiknya sebelum ini.
Dia hanya mampu mencatat jarak 55.15 meter berbanding rekod peribadi terbaiknya 58.71 meter dan rekod baru Sukan SEA 56.41 meter yang dicatat ketika memenangi emas di Loas dua tahun lalu.
"Saya cukup lega dan puas hati dengan kemenangan ini. Mulanya bimbang juga takut kecederaan belakang bertambah teruk dan boleh menjejaskan peluang saya.
"Tetapi selepas mendapati saingan yang diberikan pencabar lain tidak begitu kuat, saya hanya fokuskan kepada persembahan sendiri sahaja," katanya ketika ditemui selepas pertandingan.
Namun dia meminta maaf kerana gagal memecahkan rekod sendiri walaupun telah berusaha sebaik mungkin. Ini kerana kesakitan yang dialami menghalangnya berbuat demikian.
"Saya hanya berjumpa doktor dua minggu lalu untuk melakukan imbasan. Mujur mereka benarkan saya beraksi," katanya yang bakal membawa pulang RM10,000 di bawah skim hadiah kemenangan Majlis Sukan Negara (MSN).
No comments:
Post a Comment