SUKAN UMUM


Malaysia Raih 3 Mata Tewaskan Thailand


Gambar dari AFP
Malaysia sekali lagi menewaskan Thailand di dalam Sukan Sea 2011 pada kali ini untuk meraih 3 mata . Skuad Malaysia Bawah 23 membuktikan yang mereka juga dapat mengekalkan pingat emas dalam acara bola sepak Sukan Sea pada kali ini.
Malaysia meraih gol menerusi pemain Baddrol Bakhtiar pada minit ke-24 hasil rembatan leret di sebelah kanan gol. Jaringan tersebut sekaligus merubah rentak dan semangat skuad negara sehingga tiupan wisel separuh masa pertama tamat.
Pada minit ke 42, Malaysia meraih peluang terbaik untuk menambah jaringan, selepas tandukan Irfan Fazail hanya sedikit tersasar. Malaysia kelihatan lebih menyerlah dan banyak menguasai permainan di babak pertama permainan.
Pada penghujung separuh masa kedua, pasukan Thailand menyamakan kedudukan menerusi Natarid Thammarossopon pada minit ke-78 selepas merembat kencang melepasi penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.
 Bagaimanapun, penyerang negara, Izzat Faris Ramlan membuat lencongan cantik di sebelah kiri gawang seterusnya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85 bagi memastikan kemenangan negara dalam perlawanan kedua kumpulan A Sukan Sea 2011 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.
Perlawanan peringkat kumpulan hari ini adalah yang kedua selepas pasukan negara seri tanpa jaringan menentang Singapura, baru-baru ini.
_____________________________________________________________________________________

Senarai Pemain Utama + Pertukaran Pemain

Khairul Fahmi Che Mat
Mahali Jasuli
Muslim Ahmad
Fadhli Shas
Asrarudin Putra
Nazmi Faiz
Irfan Fazail
Baddrol Bakhtiar (Pemain Terbaik Pilihan Fans Sukan Malaya)
Fandi Othman
Wan Zaharul Nizam
Syahrul Azwari (Striker)
Pertukaran
Minit 53 – Nazmi Faiz OUT > Gurusamy IN
Minit 67 – Irfan Fazail OUT > Fakri Saarani IN
Minit 81 – Wan Zaharul Nizam OUT > Izzar Faris IN

Video Perlawanan

Syahrul Tak Puas Hati Prestasi Sendiri

SELEPAS meledak dua gol pada pertemuan menentang Laos dalam aksi persahabatan pada Oktober lalu, Syahrul Azwari Ibrahim nyata masih tidak puas dengan prestasi yang dipamerkan.
Penyerang Harimau Muda berusia 18 tahun itu berazam untuk meneruskan prestasinya, sekali gus menjulang nama negara di persada antarabangsa.
Disenaraikan dalam skuad kendalian Ong Kim Swee ke Sukan SEA 2011 Indobesia, pemain kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu tidak mahu menoleh lagi ke belakang lagi.
Sebaliknya, Syahrul berikrar untuk memberikan sumbangan terbaik kepada skuad negara yang dalam misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada temasya di Laos dua tahun lalu.
Jelasnya, meskipun menyedari kurang pengalaman di pentas antarabangsa, ia sedikit tidak menghalang untuk dia terus mempamerkan aksi yang mantap dan sentiasa berusaha bagi mencapai kemenangan buat skuad negara di Jakarta nanti.
“Selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Loas pada Oktober lalu, saya masih berasa tidak puas sebaliknya berazam mahu meledak dengan lebih banyak jaringan.
“Sebagai pemain bola sepak, saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi saya pada tahap yang lebih tinggi. Saya mahu sifat sebenar sebagai seorang penyerang ada dalam karakter saya.
“Selepas disenaraikan dalam skuad bimbingan Ong Kim Swee, saya tidak mahu melepaskan peluang ini dan menganggap ini sebagai medan yang terbaik. Dalam masa yang sama, saya mahu membantu skuad negara mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada dua tahun lalu.
“Ada pihak yang mempersoalkan pengalaman saya beraksi di pentas antarabangsa tetapi ia tidak pernah menjejaskan semangat saya untuk beraksi dengan lebih baik.
“Saya tidak mahu mempersia-siakan peluang ini dan harapan saya, saya mahu bantu pasukan dengan mempertahankan pingat emas nanti,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Jakarta pada 2 November lalu.
Syahrul berkata, ketika ini dia sudah bersedia dari segi fizikal mahupun mental sekiranya diberikan peluang untuk beraksi menentang mana-mana pasukan.
- Kosmo

Nicol Rangkul Kejuaraan Dunia Keenam

Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David merangkul kejuaraan keenam pada Kejohanan Skuasy Terbuka Dunia selepas menewaskan musuh tradisi Jenny Duncalf dari England pada Ahad.
Menurut laman web rasmi pertandingan itu, www.worldopensquash2011.com, Nicol, 28, mempamerkan aksi hebat ketika menewaskan pilihan kedua, Duncalf, pada perlawanan yang memakan masa kurang setengah jam.
Pada perlawanan akhir di Luxor Theatre, Rotterdam, Belanda pada 2 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia), Nicol menang dengan 11-2, 11-5 dan 11-0.
Dengan kemenangan terbaru itu, Nicol telah mengatasi rekod lima kejuaraan dunia yang dicapai pemain Australia Sarah Fitz-Gerald. – BERNAMA

Nicol Akan Bertemu Natalie, Wee Wern Tersingkir

Ratu skuasy Malaysia dan pemain nombor Satu dunia, Datuk Nicol Ann David mengetepikan Kasey Brown dari Australia untuk bertemu pemain Belanda Natalie Grinham pada saingan separuh akhir dalam kejohanan skuasy Terbuka Dunia di Rotterdam, Jumaat.
Nicol, pilihan utama, mengambil masa 41 minit untuk menundukkan Brown dalam permainan suku akhir di gelanggang skuasy Victoria.
“Kutipan mata tidak dapat menggambarkan betapa getirnya permainan di gelanggang, ia mungkin 3-0 tapi ia seolah-olah 5 atau 6 perlawanan sebenarnya. Kasey menghadapi permainan yang getir semalam, tapi beliau masih, seorang pemain yang handal. Rentak permainannya juga telah meningkat dengan ketara,” kata Nicol seperti yang dipetik dalam, laman web rasmi kejohanan di sini, hari ini.
“Saya sentiasa memperbaiki permainan saya, tetapi anda akan dapati pemain lebih muda akan meningkatkan permainan mereka, tapi saya sangat suka cabaran seperti ini,” katanya dalam www.worldopensquash2011.com.
Nicol, yang pernah dikalahkan Brown dalam suku akhir Terbuka Amerika pada 6 Oktober berkata, beliau amat gembira dengan pretasinya sekarang.
“Dalam pertemuan terakhir saya dengannya, saya tidak begitu fokus, menyebabkan saya melakukan kesilapan demi kesilapan. Hari ini (Jumaat) saya cuba mengekalkan permainan, memberi fokus setiap masa. Dan hari ini, semuanya kembali seperti biasa,” katanya.
Pertemuan separuh akhir Nicol dengan Natalie akan diadakan hari ini pukul 5 petang di Rotterdam.
Sebelum itu, Natalie mengalahkan pemain nombor dua Malaysia, Low Wee Wern 11-7, 11-7 dan 11-5 dalam masa 47 minit.
Mengenai pertemuannya dengan Nicol, Natalie berkata: “Kami pernah bertemu sekali, di Cayman tahun ini. Ia satu permainan yang baik, jadi saya berharap permainan yang baik esok (hari ini).”
Satu lagi pertemuan separuh akhir adalah antara pilihan kedua Jenny Duncalf dari England dan Samantha Teran dari Mexico.
Jenny mengalahkan rakan senegara Laura Massaro dalam straight set 11-9, 11-7 dan 11-7 dalam masa 45 minit, manakala Samantha mengambil masa 36 minit untuk menundukkan Dipika Pallikal dari India untuk menempah tempat ke separuh akhir.
– BERNAMA

Marco Simoncelli maut di Litar Sepang

SEPANG: Penunggang Honda, Marco Simoncelli disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dan kepalanya dilanggar dua pelumba lain pada perlumbaan kategori MotoGP di Litar Sepang, sebentar tadi.
Sebelum itu, perlumbaan kategori berkenaan dibatalkan berikutan kemalangan yang menimpa pelumba Itali berkenaan yang terjatuh dan dilanggar Colin Edwards dan Valentino Rossi pada pusingan kedua perlumbaan terbabit.
Topi keledar Simoncelli tercabut ketika kemalangan di selekoh 11 apabila beliau tergelincir dengan motosikalnya melintang di atas litar dan ketika itu menjadi laluan Edwards dan Rossi.
Perlumbaan itu terus diberikan bendera merah dan Simoncelli yang kaku di atas litar terus dibawa ke pusat perubatan menggunakan ambulans.
Edwards yang menunggang Yamaha turut terjatuh tetapi terselamat daripada sebarang kecederaan serius manakala Rossi berupaya dapat menunggang motosikalnya balik ke pit. – REUTERS

Nicol tempah tiket ke semifinal Qatar Classics


Nicol David berkata kekecewaan dalam kejohanan terakhir tidak mengganggu rentaknya dalam Kejohanan Qatar Classics.
Ratu skuasy wanita negara, Nicol Ann David tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanana Qatar Classics buat kali keenam berturut-turut.
Nicol mengambil masa 27 minit untuk mengalahkan Raneem El Weleily dari Mesir 11-6, 11-4, 11-8.
Walaupun Raneem mula mendapatkan rentaknya dalam set ketiga, Nicol pantas memperkemaskan permainannya untuk menguburkan cabaran lawannya.
“Dalam set ketiga, saya tiak mahu dia meraih keyakinan, jadi saya terus memberi tekanan dan tiga pukulan terakhir begitu penting.
“Hari ini saya bermain agak bertahan pada awal permainan kerana cuba menyesuaikan diri dengan gelanggang. Anda tidak boleh terus mengasak tanpa mendapat keyakinan.
“Anda perlukan masa yang tepat. Selepas itu selepas saya mendapat keyakinan, saya mula menyerang,” katanya yang bakal berhitung dengan pemain Australia yang juga pilihan ketiga kejohanan, Rachael Grinham di semifinal.
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi Low Wee Wern yang masih segar dengan kejayaan Terbuka China minggu lalu.
Wee Wern tewas 11-8, 11-5, 11-9 kepada pemain Republik Ireland, Madeline Perry.
-D5

Turki Ungguli Kejohanan Remaja dan Kadet Karate Dunia

Atlet Turki mendominasi hari pertama Kejohanan Karate Remaja dan Kadet Dunia Ketujuh memenangi empat emas keseluruhan daripada lapan yang ditawarkan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini Khamis malam.
Pingat emas itu diperoleh dalam acara kata bawah 21, menerusi Yakan Mehmet setelah menewaskan Yashuda Naoyuki dari Jepun. Pingat gangsa dimenangi peserta negara, Lim Chee Wei.
Lim tewas kepada Yashuda di peringkat separuh akhir dan berkongsi pingat gangsa dengan peserta Iran, Gorbanalipour Malek Shah Mehran.
Peserta wanita Turki, Yenen Turbi mempamerkan taring dengan mengungguli tiga kategori akhir daripada empat acara yang dipertandingkan.
Tuba mengungguli emas bagi kategori bawah 21, berat badan bawah -53 kilogram menewaskan peserta Jerman, Bugur Dugyu manakala bagi kategori yang sama bagi berat badan di bawah 60 kilogram, Tek Dugba menewaskan peserta Jepun, Gomyo Mamiko pada perlawanan akhir.
Bagi kategori bawah 21, untuk berat badan melebihi 60 kilogram, Hocaoglu Meltem, menewaskan peserta Perancis, Prouille Marie.
Peserta Jepun, Tsuruyama Chiba mengungguli kategori wanita bagi acara kata menewaskan peserta Vietnam, Do Thi Thu Ha pada perlawanan akhir.
Bagi kategori lelaki, peserta lain yang memenangi emas malam ini ialah peserta Iran, Asgari Ghoncheh Bahman yang menewaskan peserta Itali, Chistano Altamura acara bawah 68 kilogram.
Peserta Azerbaijan, Mamayev Aykhan memenangi emas bagi berat badan bawah 78 kilogram manakala dalam acara akhir berat badan di atas 78 kilogram, peserta Montenegro, Lucic Danilo menewaskan peserta Turki, Kaptan Ridwan.
Sebanyak 31 pingat emas ditawarkan pada kejohanan empat hari.
- Bernama

Ramdan taruh harapan tinggi di Zhuhai

Pelumba Underbone 115cc negara, Mohd Ramdan Mohd Rosli meletakkan harapan tinggi apabila berkunjung ke Litar Antarabangsa Zhuhai, China bagi menyertai Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS, minggu ini.
Didorong oleh dua kejayaan podium tempat ketiga yang diraih selepas membuat kemunculan pertama di Trek Lumba Motor Madras, India (Pusingan 3) dan Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun (Pusingan 4), Ramdan berharap dapat mengekalkan prestasi sama pada perlumbaan kali ini.
Selain itu dia juga mahu mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan yang akan menjejaskan peluangnya untuk menamatkan saingan musim ini di kedudukan ketiga keseluruhan.
Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM Racing itu berada di tangga kelapan keseluruhan dengan 49 mata. Rafid Topan Sucipto dari Yamaha CKJ TJM Racing mendahului kedudukan dengan 161 mata diikuti juara bertahan, Hadi Wijaya (Kawasaki NHK Rextor MTR Manual Tech) kedua, 136 mata dan rakan sepasukan Ramdan, Shahril Izzuwan Mohd Noor ketiga, 76 mata.
Yakin dapat memberikan saingan kepada barisan pelumba hadapan, Ramdan menjelaskan, “Ketika ini Kejuaraan sudah memasuki tahap kritikal dengan hanya berbaki dua pusingan dan empat perlumbaan sahaja lagi. Jadi tidak hairan jika setiap pelumba yang bertanding dalam kategori Underbone 115cc akan beraksi dengan agresif di sini untuk memburu jumlah mata maksimum. Saya juga akan melakukan perkara serupa dengan harapan dapat menamatkan perlumbaan di atas podium ataupun di kalangan lima pelumba terbaik,” kata Ramdan yang tidak beraksi pada Pusingan 1 (Sepang) dan Pusingan 2 (Jakarta).
Pelumba 15 tahun itu kemudiannya menambah, “Saya terpaksa melepaskan dua pusingan awal akibat kecederaan kaki. Ia sangat merugikan kerana saya kehilangan banyak mata dan ketinggalan jauh kepada pendahulu, jika tidak mungkin saya masih berpeluang untuk mengejar gelaran juara keseluruhan. Sekarang ini sudah terlambat kerana walaupun saya berjaya mengutip 100 mata penuh manakala Rafid pula gagal untuk menambah sebarang mata, saya tetap ketinggalan 12 mata kepadanya. Saya masih mempunyai peluang untuk mengejar Hadi namun ia agak sukar memandangkan pelumba berpengalaman itu merupakan seorang pelumba yang sangat konsisten.”
“Oleh itu, sasaran paling realistik buat saya adalah untuk mengejar kedudukan ketiga keseluruhan kerana saya hanya ketinggalan 27 mata kepada Shahril. Memandangkan Shahril tidak beraksi di Zhuhai, dan tempatnya digantikan oleh Mohd Iskandar Raduan, ini bermakna saya mempunyai peluang yang lebih cerah untuk merebut tempat ketiga keseluruhan. Saya tetap yakin dan semoga saya dapat beraksi dengan tenang dan mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan serta tidak dihimpit masalah mekanikal sewaktu perlumbaan.”

No comments:

Post a Comment