INFORMASI BADMINTON MALAYSIA


Lee Chong Wei Bebas Dapatkan Nasihat Misbun Sidek

JURULATIH kebangsaan, Tay Seu Bock tidak menghalang jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei untuk mendapatkan nasihat bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek mahupun sesiapa jua.
Meletakkan sasaran emas di Olimpik 2012 sebagai keutamaan, Seu Bock mahu tiada halangan yang boleh membantutkan perjuangan atau persiapan pemain nombor satu dunia itu.
“Saya tiada masalah untuk bekerjasama dengam Misbun, namun keputusan mengambilnya semula terletak kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Saya pernah bekerjasama dengan beliau. Tapi buat masa sekarang Rashid (Sidek) dan Hendrawan ada tolong saya, buat analisis perlawanan, taktikal dan sebagainya. (Jadi) bagi saya tiada masalah, terpulang pada BAM,” katanya.
Sambil mengakui bahawa beliau mempunyai mekanismenya tersendiri untuk meningkatkan prestasi ayam tambatan Olimpik itu tahun depan, beliau turut meletakkan sasaran tiga bulan untuk Chong Wei kembali ke prestasi terbaiknya.
“Bagaimanapun buat masa ini latihan mungkin saya akan buat benda yang sama kerana tiada masa, mungkin selepas Malaysian Open ada sedikit perubahan dari segi latihan, program semua,” katanya.
Sebelum ini, Chong Wei meluahkan hasratnya untuk mendapatkan semula khidmat Misbun yang meletak jawatan sebagai jurulatih BAM pada 31 Disember tahun lalu.
– Ehsan Buletin Sinar

Share this: 

Chong Wei Rindu Misbun

Semalam, pemain badminton nombor satu dunia itu akur betapa dia masih menagih sentuhan bekas jurulatihnya ketika digamit ujian amat getir mengejar pingat emas di Sukan Olimpik 2012 yang berbaki kira-kira lapan bulan lagi. Ringkasnya, dia tampak tidak kisah untuk kembali ‘berguru’ dengan Misbun.
“Sekarang tinggal kira-kira lapan bulan saja lagi (Olimpik) dan saya mahu meningkatkan skil dan mengekalkan tahap kecergasan diri. Selain itu apa yang penting ialah memastikan tidak berlaku kecederaan terhadap diri saya.
“Saya tidak kisah siapa saja boleh memberi pandangan dan melatih saya dalam tempoh ini. Semua orang boleh bekerjasama dalam membantu meningkatkan prestasi dan corak permainan saya,” katanya dalam sidang media selepas menjadi Duta Rasmi kepada jenama Cafe 99 Ipoh White Coffee di Shah Alam, semalam.

Chong Wei mengutarakan dia tidak boleh membuat apa-apa keputusan jika dia mahukan bimbingan Misbun kerana terikat dengan Persatuan Badminton Malaysia dan akur harus ikut sahaja.

BAM Lantik Lapan Jurulatih

LAPAN jurulatih baru dari Indonesia dan tempatan bakal memulakan tugasan membentuk pemain badminton berkualiti di peringkat akar umbi di setiap persatuan negeri yang sudah dikenal pasti bermula Januari ini sekali gus membuktikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serius menangani masalah ketandusan pelapis seperti dihadapi ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan BAM, David Wee mengesahkan ahli majlis sudah meluluskan permintaan persatuan negeri berdasarkan peruntukan disediakan rakan penaja utama sukan itu, Maybank iaitu RM3,000 sebulan untuk tujuan pembayaran gaji jurulatih di setiap persatuan negeri.
“Setakat ini hanya tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang mengesahkan untuk menerima jurulatih dari Indonesia yang kita senarai pendek,” kata David.
BAM menerusi Pengurus Besar, Kenny Goh melawat Indonesia untuk menemuduga beberapa calon jurulatih ketika temasya Sukan Sea, bulan lalu.
Negeri Sembilan bersetuju untuk menerima Rommy Arnold Walalangi, Ernita (Pulau Pinang) serta Muhamad Ridwan (Melaka), semuanya dari Indonesia.
Beberapa jurulatih baru lain dijangka mencapai kata sepakat dengan persatuan negeri seperti Muhtasham Katan (Johor), Shankar Annamalai (KLBA), Hildawati (Kedah) dan Mazunal Mahap (Sabah).
Setiausaha Persatuan Badminton Pulau Pinang, Tony Tan berkata, pihaknya mencari kepelbagaian dalam corak latihan untuk diterapkan ke dalam jiwa pemain muda Pulau Mutiara itu.
Malah pihaknya bersetuju dengan cadangan BAM menggaji jurulatih wanita dari Indonesia iaitu Ernita bagi menghadirkan teknik baru latihan.
“Kami memang sudah ada jurulatih asing dari China dan beliau banyak menyumbang kepada program pembangunan negeri ini. Jadi kami fikir, alang-alang ada dana disalurkan Maybank menerusi BAM lebih baik dimanfaatkan dengan melantik seorang lagi jurulatih kerana ini akan membantu mengharumkan badminton negara juga,” kata Tony.
Persatuan Badminton Pulau Pinang sehingga kini menggunakan khidmat jurulatih China, Deng Lei sejak 2004. Khidmat jurulatih itu akan terus digunakan meskipun mereka mendapat khidmat jurulatih baru dari Indonesia.
“Apa yang kami nampak hasilnya penggunaan jurulatih asing di peringkat akar umbi adalah kematangan pemain dan buktinya Persatuan Pulau Pinang boleh dianggap yang terbaik dalam menyalurkan pemain ke peringkat nasional,” katanya.
Sebagai bukti terbaik, Datuk Lee Chong Wei adalah pemain yang dilahirkan persatuan negeri itu yang kini berada di kedudukan nombor satu dunia.

– Harian Metro

Badminton Berpasukan Wanita Dan Lelaki Mara Ke Separuh Akhir

Skuad lelaki dan wanita negara menempah tiket ke separuh akhir setelah masing-masing mencuri tumpuan mengatasi lawan dalam saingan awal acara badminton pada Sukan SEA ke-26 di Stadium Istora Gelora Bung Karno, Senayan Sabtu.
Pasukan wanita negara akan bertemu Indonesia setelah tuan rumah itu mengalahkan Vietnam 3-0 sementara berpasukan lelaki akan bertemu Singapura setelah mengalahkan Filipina dengan juga keputusan 3-0.
Dalam saingan berpasukan wanita, pemain perseorangan Sonia Cheah terpaksa bekerja keras bagi memastikan acara badminton berpasukan wanita yang mendapat pingat emas pada edisi 2009 di Vientiane, Laos itu mara ke saingan seterusnya setelah mengatasi Filipina 3-0.
Sekalipun bertemu pemain bukan pilihan, Bianca Carlos dari Filipina, pemain remaja berusia 18 tahun itu mempamerkan aksi gugup pada set pertama apabila kalah 15-21 sebelum bangkit menang 21-16 dan 21-12 dalam dua seterusnya yang mengambil masa 43 minit.
“Saya sedikit cuai hinggakan dia dapat beri tentangan sengit dalam set pertama. Ia sedikit sebanyak memberi tekanan buat diri hinggalah saya berjaya bangkit menjarakkan kedudukan dalam dua set seterusnya,” katanya kepada Bernama selepas tamat perlawanan.
Sebelum itu, dua rakan sepasukannya, Tee Jing Yee dan Lydia Cheah tidak mengalami masalah apabila masing-masing cemerlang mengalahkan dua lagi atlet dari Filipina itu.
Perseorangan remaja pertama, Tee, 20, mendapat laluan mudah apabila menundukkan Malvinne Ann Venic dengan 21-14, 21-15 manakala perseorangan kedua negara Lydia, 22, turut tidak menghadapi masalah apabila menundukkan Gelita Castilo dengan keputusan 21-8, 21-10.
Dalam saingan berpasukan lelaki pula, Daren Liew mencemaskan kem badminton Malaysia apabila dikejutkan dengan kekalahan 20-22, 14-21 kepada pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh.
“Ini merupakan penyertaan kedua saya di temasya ini. Saya akui sedikit gugup hinggakan saya hilang fokus pada set kedua, ” kata pemain berusia 24 tahun itu.
Bagaimanapun kekalahan tersebut ditebus oleh Lim Khim Wah-Goh Wei Shem, Mohamad Arif Ab Latif dan Mak Hee Chun-Ong Soon Hock dengan tidak mengecewakan Malaysia apabila menyumbangkan tiga mata seterusnya tanpa banyak masalah untuk memenangi 3-1 menumpaskan Vietnam.
Pemain beregu pertama Khim Wah-Wei Shem menumpaskan pasangan Dao Manh Thang-Bui Bang Duc 21-14, 21-8 untuk mata pertama, sebelum Mohamad Arif mengutip mata kedua dengan menundukkan Le Ha Anh 21-8, 21-10.
Beregu kedua negara Hee Chun-Soon Hock memastikan tiket untuk skuad negara ke saingan seterusnya setelah menumpaskan pasangan Duong Bao Duc-Nguyen Hoang Nam dengan mata kemenangan 21-10, 21-14 yang hanya mengambil masa 19 minit.
Kali terakhir Malaysia memenangi acara berpasukan Sukan SEA adalah di Manila pada 2005. Pada Sukan SEA 2007, kita gagal melayakkan diri ke final selepas hanya menghantar pasukan kedua.
Namun pada temasya di Vientiane, Laos, pasukan negara berjaya ke saingan akhir namun terpaksa akur apabila hanya memenangi pingat perak setelah kalah kepada Indonesia dua tahun lalu.
– BERNAMA

Malaysia Raih Gelaran Treble

JAGUH perseorangan remaja negara, Zulfadli Zulkifli dan beregu lelaki, Nelson Wei Keat-Teo Ee Yi mencipta sejarah baharu dalam arena sukan badminton tanah air apabila merangkul kejuaraan pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2011.
Zulfadli dan Wei Keat-Ee Yi tampil cemerlang apabila menewaskan lawan masing-masing pada aksi final yang berlangsung di Taiwan semalam.
Kejayaan tersebut menyaksikan Zulfadli dan Wei Keat-Ee Yi berjaya menambah koleksi kejuaraan apabila turut membantu skuad badminton remaja negara muncul juara dalam acara berpasukan campuran minggu lalu.
Dalam acara perseorangan, Zulfadli, 18, yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) mencipta kejutan apabila mencatat kemenangan ke atas juara bertahan, Viktor Axelsen dari Denmark.
Bagaimanapun, pada aksi final tersebut, Zulfadli yang diletakkan sebagai pemain pilihan kedua kejohanan dipaksa bekerja keras apabila diheret sehingga ke set penentuan sebelum berjaya mengesahkan kejuaraan.
Selepas berjaya menang pada set pertama, 21-18, corak permainan serta pergerakan Zulfadli seolah-olah sudah mampu dibaca oleh Axelsen apabila juara Remaja Asia itu tewas 9-21.
Namun, menyedari dengan hakikat tersebut, Zulfadli lantas mengubah corak permainannya dan kembali bangkit untuk mencatat kemenangan ke atas Axelsen 21-19 pada set penentuan.
Sebagai rekod, Zulfadli muncul pemain pertama negara menjadi juara dunia dalam acara perseorangan.
Bagi Zulfadli, kejayaan tersebut adalah suatu yang paling bermakna kerana ini merupakan tahun terakhir dia beraksi sebagai pemain remaja ekoran usianya bakal menjangkau 19 tahun pada tahun depan.
“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Saya sendiri tidak tahu apa lagi yang saya boleh katakan.
“Yang pasti, saya menutup tirai karier saya selaku pemain remaja dengan pencapaian yang cukup membanggakan. Saya berjaya muncul juara Asia dan memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Remaja dan kali ini juara dunia pula.
“Alhamdulillah, segala usaha serta kerja keras saya selama ini untuk muncul juara dalam kejohanan-kejohanan besar memang berbaloi dan saya mahu meneruskan rentak kecemerlangan ini sebagai pemain senior pula,” kata Zulfadli ketika dihubungi Kosmo! di Taiwan semalam.
Sebelum ini, Zulfadli turut mencipta sejarah apabila merangkul kejuaraan pada Kejohanan Badminton Asia 2011 di India, Julai lalu sebelum memenangi pingat pada temasya Sukan Komanwel Remaja di United Kingdom September lalu.
Sementara itu, Wei Keat-Ee Yi membuktikan penguasaan mereka dalam acara beregu lelaki apabila tidak berdepan halangan sukar untuk mengenepikan cabaran pasangan Taiwan, Huang Po Jui-Lin Chia Yu 21-17, 21-17.
Kemenangan itu sekaligus menyaksikan Wei Keat-Ee Yi berjaya menebus kehampaan yang dialami mereka pada edisi tahun lalu apabila sekadar menamatkan kejohanan selaku naib juara.
- Kosmo

Pemain negara terus rentak cemerlang di Taipei

Para pemain remaja Malaysia berjaya meloloskan diri sekurang-kurangnya satu calon bagi satu kategori di peringkat separuh akhir Kejohanan Dunia Remaja 2011.
Kejohanan yang sedang berlangsung di Taipei itu menyaksikan pemain muda sensasi negara, Zulfadli Zulkifli menang 21-9 21-19 Soon Lee Gerald Ong dalam acara perseorangan.
Pemain dibawah naungan KLRC itu bakal bertemu dengan pemain Indonesia, Wisnu Yuli Prasetyo.
Beregu lelaki, Nelson Wei Keat Heg-Ee Yo Teo turut tidak menghampakan apabila meneruskan kemaraan mereka selepas berhempas-pulas ketika bertemu pasangan Jepun, Kento Momota-Taichi Saito 15-21 22-20 21-19.
Lawan yang menanti mereka di peringkat separuh akhir, Lukhi Apri Nughoro-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia.
Satu lagi wakil negara, Sant Enos Jani-Low Juan Shen terkandas kepada pasangan Hong Kong, Chun Hei Lee-Ka Long Ng.
Sonia Su Ya Cheah turut memikul cabaran negara dalam kategori perseorangan wanita tetapi tidak diberi laluan mudah pemain Hong Kong, Ngan Yi Cheung sebelum menang 21-6 15-21 24-22. Namun lawan yang bakal dihadapinya nanti, Nozomi Okuhara turut keletihan apabila dipaksa bermain sehingga set penentuan dengan keputusan 21-9 22-24 21-13 pemain tuan rumah, Wan Yi Tang.
Sonia akan sekali lagi turun ke gelanggang dan kali ini bakal berpasangan dengan Li Lian Yang dalam acara beregu wanita. Mereka menang mudah 21-18 21-12 ke atas pasangan England, Chloe Birch–Emily Westwood. Lawan yang menanti mereka nanti merupakan pilihan ketiga, So Hee Lee-Seung Chan Shin dari Korea Selatan.
Pasangan pilihan ketiga, Wei Keat Heg-Mei Kuan Chow berpeluang ke perlawanan akhir apabila diundi bertemu dengan Kasper Antonsen-Line Kjaerfeldt yang merupakan pilihan ke-9 dari Denmark di peringkat separuh akhir.
- Astro Arena

Chong Wei dengan mudah mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis

KUALA LUMPUR, (D5) – Datuk Lee Chong Wei dengan mudah mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis selepas menundukkan pemainMarc Zwiebler.
Chong Wei cemerlang menumpaskan wakil Jerman itu dalam stright set 21-16, 21-13 dalam masa 31 minit.
Manakala dalam aksi beregu lelaki menyaksikan Goh Wei Shem-Lim Kim Wah mara ke pusingan kedua apabila menundukan pasangan Jepun Kawamae Naoki-Sato Shoji 21-15, 26-28 dan 21-16, biarpun terpaksa mengharungi saat sukar.
Beregu sensasi negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula hampir-hampir ditewaskan pemain Rusia Vladimir Ivanov Ivan Sozonov apabila mencatat kemenangan tipis 21-23, 21-17, 23-21.
Dalam saingan beregu campuran, Peng Soon-Liu Ying mudah menewaskan pasangan dari Jepun Sato Shoji-Matsuo Shizuka 21-19 21-15.
Sementara itu, beregu wanita Chin Eei Hui-Wong Pei Tty gagal mara setelah tewas di tangan beregu China Wang Xiaoli Wang- Yu Yang 24-22 21-8.
- D5

Chong Wei tewas kepada Chen Long

KUALA LUMPUR, (Bernama) – Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong gagal memburu kejuaraan keenam musim ini apabila tumpas di tangan pemain muda China, Chen Long, pada perlawanan akhir Terbuka Denmark di Odense, malam ini.
Chong Wei, selaku pemain nombor satu dunia, gagal menyekat ketangkasan pemain pilihan ketiga itu sebelum kalah 15-21, 18-21.
- Bernama

Chong Wei bertemu Cheng Long pada Final Terbuka Denmark

Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei akan berdepan dengan bintang muda China, Chen Long, pada perlawanan akhir Kejohanan Terbuka Denmark di Odense.
Chong Wei, yang mencari kejuaraan keenam musim ini, melangkah ke final selepas mengalahkan pemain tuan rumah yang berpengalaman, Peter Hoeg Gade, 21-19, 23-21 pada saingan separuh akhir.
Pertarungan sengit memakan masa 40 minit itu membolehkan Chong Wei menjadi pemain tunggal negara ke perlawanan akhir selepas beregu lelaki negara Hoon Thien How/Tan Wee Kiong terkandas pada separuh akhir.
Chen Long pula mara ke final apabila menumpaskan pemain Jepun, Sho Sasaki 21-16, 21-7 pada satu lagi perlawanan separuh akhir.
Beregu negara THien How/Wee Kiong tidak dapat menyaingi kehebatan beregu pilihan utama China, Cai Yun dan Fu Haifeng apabila tunduk 11-21, 11-21.
Sebelum ini, beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong menerima nasib malang apabila terkeluar lebih awal pada pusingan pertama selepas dikecewakan oleh pasangan Korea Selatan, Cho Gun Woo/Kwon Yi Goo 21-15, 15-21, 12-21.
-Bernama

BAM Lantik Jurulatih Korea Selatan Untuk Beregu Utama Negara

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pelantikan Yoo Yong Sung dari Korea Selatan sebagai jurulatih skuad beregu lelaki negara.
Timbalan Presiden BAM Datuk Dr Mohamed Al-Amin Abd Majid berkata Yoo akan bekerjasama dengan jurulatih Pang Cheh Chang bagi menyediakan beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong ke Sukan Olimpik 2012 di London.
“Saya berharap pelantikan ini akan membawa peningkatan bagi skuad negara dalam menghadapi sukan Olimpik tahun depan,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa badan induk itu di sini.
Mohamed Al-Amin berkata Yoo akan mengikat kontrak selama dua tahun bersama BAM termasuk menjalani tempoh percubaan enam bulan.
“Beliau juga akan membantu melatih beregu lelaki junior,” katanya.
Yoo merupakan bekas pemain beregu Korea Selatan dari 1990-an hingga 2005.
Beliau dan pasangannya Lee Dong-soo pernah meraih pingat perak pada Sukan Olimpik 2004 di Athens serta dua emas pada Sukan Asia 2002 di Busan.
Sementara itu, Mohamed Al-Amin berkata 18 pemain dipilih untuk menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Taiwan pada 26 Okt ini termasuk perseorangan lelaki Zulfadhli Zulkifli dan beregu lelaki Teo Ee Yi dan Nelson Heg.
-Bernama

Chong Wei Mudah Ke Final Kejohanan Sirkit Kebangsaan Grand Prix

Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei mara ke saingan akhir Kejohanan Sirkit Kebangsaan Grand Prix Final selepas menewaskan Misbun Ramdan Misbun pada aksi separuh akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara.
Chong Wei dengan mudah menjinakkan pemain pelapis negara itu dengan straight set 21-10, 21-14 dalam masa 26 minit.
Beliau akan bertemu Chong Wei Feng yang menewaskan rakannya, Goh Soon Huat dengan kemenangan 13-21, 21-18, 21-14.
Dalam saingan beregu lelaki, Mohd Fairuzizuan Tazari dan Ong Soon Hock berjaya menewaskan Goh Wei Shem-Lim Khim Wah 12-21, 23-21, 21-15. Manakala Cheah Like Hou- Chow Pak Chuu membenam Mohd Lutfi Zaim-Vountus Indra Mawan 21-7, 21-13.
Berikut adalah keputusan lain, dalam perseorangan wanita, Tee Jing Yi menewaskan Julia Wong Pei Xian 21-5, 21-14, Sonia Cheah Su Ya menewaskan Lydia Cheah Li Ya 21-18, 21-16.
Sementara aksi beregu wanita pula menyaksikan Chow Mei Kuan – Lee Meng Yean menewaskan Chin Eei Hui – Goh Liu Ying 21-13, 21-13 dan Vivian Hoo Kah Mun – Woon Khe Hei menewaskan Sannatasah Saniru – Tee Jing Yi 21-13, 21-8.
Manakala pada saingan beregu campuran Chan Peng Soon – Goh Liu Ying menewaskan Tan Aik Quan Lai Peng Jing 21-12, 21-15 dan Tan Wee Kiong – Woon Khe Wei menewaskan Mak Chee Chun – Lim Yin Loo 21-18, 21-17.

Chong Wei bersiap sedia untuk Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR, (D5) – Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak mahu terlalu mengejar kejuaraan GP akhir, Sirkit Badminton Kebangsaan sehingga boleh menjejaskan persiapannya menjelang Terbuka Denmark, 18 Oktober ini.
Sirkit akhir yang bakal berlangsung di Bukit Kiara, Rabu ini bukan menjadi keutamaan buat Chong Wei meskipun mampu menjulang kejuaraan itu buat kali ke-10 berturut-turut sejak 2001.
Tidak menafikan hasrtanya untuk merangkul kejuaraan, Chong Wei  mengambil pendekatan berwaspada bagi mengelak kecederaan yang boleh menggugat peluangnya memungut mata kelayakan Olimpik di kejohanan antarabangsa.
Justeru, Chong Wei mahu melayan sirkit ini sebagai medan terbaik pemanas badan sebelum menghadapi Terbuka Denmark.
Sementara beregu senior wanita, Chin Ee Hui akan bergandingan bersama Goh Liu Ying selepas pasangannya Wong Pei Tye belum berada pada tahap terbaik dan tidak mahu menambah risiko terhadap kecederaan lutut yang belum pulih sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment