Sunday, 13 November 2011

Hadiah perkahwinan


Hadiah perkahwinan

NUR SURYANI (kiri) dan Nur Ayuni Farhana (kanan) berkongsi kegembiraan bersama jurulatih, Zhukova Natalya (tengah) selepas masing-masing memenangi pingat emas dan gangsa di Palembang semalam.


PALEMBANG - Penembak negara, Nur Suryani Mohd. Taibi menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen negara pada Sukan SEA 2011 selepas menjuarai acara 50m rifel 3 posisi wanita di Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang semalam.
Manakala pingat gangsa menjadi milik seorang lagi penembak negara iaitu Nur Ayuni Farhana Abdul Halim.
Ketika harapan emas menerusi acara karate di Jakarta lebur di separuh akhir, Nur Suryani menebus kegagalan itu untuk menjadi atlet emas pertama pada temasya kali ini menerusi persembahan yang mengejutkan dirinya sendiri.
Ini kerana selain baharu sahaja melangsungkan perkahwinan, dia juga mengalami keracunan makanan di perkampungan sukan sebelum pertandingan bermula.
"Ini hadiah saya kepada negara dan suami yang baru saya kahwini. Ia bukan sesuatu yang saya jangkakan apatah lagi dengan keadaan diri saya sekarang.
"Memang saya sendiri terkejut juga menang emas kerana di Laos dulu, saya hanya mampu menduduki tempat keempat sahaja dalam acara ini. Ia mungkin rezeki kahwin agaknya," kata penembak berusia 29 tahun itu.
Pada pertandingan semalam, Nur Suryani yang memungut 679.8 mata menewaskan penembak Thailand di tempat kedua dan Nur Ayuni (ketiga).
Menurut Nur Suryani, insiden kelewatan ketibaan peluru tidak menjejaskan konsentrasinya.
"Soal itu adalah urusan pihak pengurusan. Bagi saya, saya mahu mencuba yang terbaik dan menumpukan perhatian kepada acara yang saya sertai," kata pemenang pingat emas dalam acara 10mair rifle berpasangan wanita pada Sukan Komanwel 2010 di India bersama Nur Ayuni Farhana Abdul Halim.
Dia kini akan menumpukan perhatian dalam acara 10m air rifle pada Rabu ini apabila bergandingan bersama Shahera Rahim Raja.
Secara keseluruhannya semalam, acara menembak menyumbang satu emas, dua perak dan satu gangsa.
Dua pingat perak diperoleh menerusi Mohd. Hadafi Jaafar dalam acara 10m air rifle lelaki dan Khalel Abdullah menerusi acara 25m standard pistol lelaki.
Pada temasya di Laos dua tahun lalu, skuad menembak negara tidak meraih pingat emas dan sekadar membawa pulang enam pingat perak dan lima gangsa menerusi 16 penembak lelaki serta wanita kebangsaan.

No comments:

Post a Comment