Jamalliah minta maaf
JAKARTA - Atlet karate, Jamalliah Jamaludin gagal menyumbang pingat emas sulung buat kontinjen Malaysia pada hari pertama temasya Sukan SEA 2011 di Stadium Tenis Tertutup Senayan semalam.
Tampil selaku penyandang juara dalam kategori kumite wanita lebih 68 kilogram, Jamalliah sekadar mampu menyumbang pingat gangsa selepas tewas dengan kiraan mata 0-2 kepada atlet Vietnam, Thach Thi Trang pada aksi separuh akhir.
Kegagalan itu juga menyaksikan Jamalliah gagal dalam misinya memburu gelaran hatrik di bumi Jakarta selepas dia meraih emas pada temasya 2007 di Korat, Thailand dan Sukan SEA 2009 di Vientianne, Laos.
Jamalliah mengakui, dia begitu kecewa dengan kegagalan tersebut, sekali gus memberi tamparan hebat kepada skuad karate negara yang berazam membawa pulang enam pingat emas kali ini.
"Saya cukup kecewa apabila gagal menyumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia pada Sukan SEA ini. Saya minta maaf kepada jurulatih (P. Arivalagan) dan seluruh peminat sukan negara.
"Saya sudah cuba memberikan aksi yang terbaik, tetapi nasib tidak menyebelahi saya," kata Jamalliah yang juga pemenang pingat perak Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.
Mengulas detik-detik pertarungan dengan lawannya itu, Jamalliah berkata, dia mula berasa tertekan selepas ketinggalan 0-1.
"Saya tidak langsung berasa tertekan sebaik berada di gelanggang pertandingan, tetapi keadaan itu tiba-tiba berubah apabila saya mula ketinggalan.
"Sebaik sahaja ketinggalan satu mata, saya mula rasa terdesak dan mengasak lawan dengan agresif. Situasi itu menyebabkan saya melakukan fault (kesalahan), seterusnya menyebabkan saya dikenakan penalti satu mata," katanya.
Sementara itu, Arivalagan jelas kecewa dan seakan-akan tidak percaya dengan kegagalan Jamalliah meraih pingat emas.
"Saya sendiri tidak tahu apa yang terjadi kepadanya. Sama ada dia terlalu yakin atau berasa tertekan, saya tidak pasti. Prestasi Jamalliah hari ini (semalam) buruk.
"Atlet pilihan kita (untuk meraih emas) sudah tewas, jadi saya harap atlet karate yang lain dapat merealisasikan sasaran untuk meraih enam emas pada Sukan SEA kali ini," kata Arivalagan.
Terdahulu, skuad karate negara berjaya menyumbang dua pingat gangsa menerusi kategori kataindividu lelaki dan dan wanita.
Tampil selaku juara Asia, Leong Tze Wai terpaksa akur dengan kehebatan atlet tuan rumah, Faizal Zainuddin apabila tewas dengan kiraan mata 2-3 di peringkat separuh akhir.
Sebelum itu, Thor Chee Yee turut merangkul pingat gangsa bagi kategori kata individu wanita.
No comments:
Post a Comment