Sunday, 13 November 2011

Buru tiga mata penuh


Buru tiga mata penuh


SKUAD negara menjadi tumpuan para penyokong Indonesia ketika menjalani latihan ringan di Kompleks Latihan Persatuan Bola Sepak Indonesia, Jakarta semalam.


JAKARTA - Enggan memberi sebarang tekanan kepada skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee tidak meletakkan sasaran gol pada pertemuan menentang Kemboja dalam aksi ketiga Kumpulan A temasya Sukan SEA 2011 di Stadium Gelora Bung Karno hari ini.
Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara itu berkata, jumlah jaringan gol bukan menjadi persoalan utama, sebaliknya beliau berharap skuad kendaliannya mengutip tiga mata berharga.
"Bagi saya, jumlah gol tidak begitu penting. Apa yang lebih penting adalah mencapai kemenangan ke atas Kemboja, seterusnya membolehkan kita mengutip tiga mata penuh.
"Saya tidak mahu pemain tertekan sekiranya saya meletakkan sasaran gol. Saya mahu mereka bermain mengikut perancangan dan percaturan yang telah dibuat," jelas Kim Swee semalam.
Sebelum ini, Kemboja menjadi mangsa belasahan apabila tewas 0-6 kepada Indonesia sebelum dijinakkan Singapura 2-1. Kelmarin, gawang Kemboja terus dibedil apabila tewas 0-4 kepada Thailand.
Justeru skuad Harimau Muda dikatakan berpeluang cerah untuk berpesta gol apabila membuat perhitungan dengan Kemboja nanti selepas mereka menundukkan Thailand 2-1 sebelum ini.
"Sasaran kami hanya tiga mata, tidak kira berapa jumlah gol. Tetapi saya telah mengingatkan para pemain supaya jangan memandang rendah keupayaan Kemboja.
"Walaupun Kemboja tewas dalam ketiga-tiga perlawanan sebelum ini, saya tidak mahu para pemain leka, sebaliknya mereka harus fokus sepanjang perlawanan berlangsung," katanya.
Biarpun dijangka membariskan skuad terbaik, Kim Swee tetap mahu anak-anak buahnya mengelak daripada mengutip kad kuning atau kad merah yang mampu merencatkan perancangannya bagi menghadapi Indonesia pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A, Khamis ini.
Ketika ini, empat pemain Harimau Muda - Mohd. Fadhli Shas, Mahali Jasuli, K. Gurusamy dan Syahrul Azwari Ibrahim telah mengutip satu kad kuning.
"Walaupun keempat-empat pemain itu telah menerima satu kad kuning, tetapi itu tidak bermakna saya akan merehatkan mereka.
"Saya perlu menurunkan barisan terkuat ketika menentang Kemboja nanti dan mungkin saya akan membuat pertukaran sekiranya keadaan memerlukan," jelas Kim Swee.
Selepas mengharungi dua perlawanan, Indonesia unggul selaku pendahulu Kumpulan A apabila mengutip enam mata, diikuti skuad Harimau Muda dengan empat mata.
Singapura yang telah beraksi tiga perlawanan turut mengumpul empat mata, manakala Thailand (dua perlawanan) mengutip tiga mata, manakala Kemboja masih gagal meraih sebarang mata.

No comments:

Post a Comment