Sunday, 13 November 2011

Badminton Berpasukan Wanita Dan Lelaki Mara Ke Separuh Akhir


Badminton Berpasukan Wanita Dan Lelaki Mara Ke Separuh Akhir

Skuad lelaki dan wanita negara menempah tiket ke separuh akhir setelah masing-masing mencuri tumpuan mengatasi lawan dalam saingan awal acara badminton pada Sukan SEA ke-26 di Stadium Istora Gelora Bung Karno, Senayan Sabtu.
Pasukan wanita negara akan bertemu Indonesia setelah tuan rumah itu mengalahkan Vietnam 3-0 sementara berpasukan lelaki akan bertemu Singapura setelah mengalahkan Filipina dengan juga keputusan 3-0.
Dalam saingan berpasukan wanita, pemain perseorangan Sonia Cheah terpaksa bekerja keras bagi memastikan acara badminton berpasukan wanita yang mendapat pingat emas pada edisi 2009 di Vientiane, Laos itu mara ke saingan seterusnya setelah mengatasi Filipina 3-0.
Sekalipun bertemu pemain bukan pilihan, Bianca Carlos dari Filipina, pemain remaja berusia 18 tahun itu mempamerkan aksi gugup pada set pertama apabila kalah 15-21 sebelum bangkit menang 21-16 dan 21-12 dalam dua seterusnya yang mengambil masa 43 minit.
“Saya sedikit cuai hinggakan dia dapat beri tentangan sengit dalam set pertama. Ia sedikit sebanyak memberi tekanan buat diri hinggalah saya berjaya bangkit menjarakkan kedudukan dalam dua set seterusnya,” katanya kepada Bernama selepas tamat perlawanan.
Sebelum itu, dua rakan sepasukannya, Tee Jing Yee dan Lydia Cheah tidak mengalami masalah apabila masing-masing cemerlang mengalahkan dua lagi atlet dari Filipina itu.
Perseorangan remaja pertama, Tee, 20, mendapat laluan mudah apabila menundukkan Malvinne Ann Venic dengan 21-14, 21-15 manakala perseorangan kedua negara Lydia, 22, turut tidak menghadapi masalah apabila menundukkan Gelita Castilo dengan keputusan 21-8, 21-10.
Dalam saingan berpasukan lelaki pula, Daren Liew mencemaskan kem badminton Malaysia apabila dikejutkan dengan kekalahan 20-22, 14-21 kepada pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh.
“Ini merupakan penyertaan kedua saya di temasya ini. Saya akui sedikit gugup hinggakan saya hilang fokus pada set kedua, ” kata pemain berusia 24 tahun itu.
Bagaimanapun kekalahan tersebut ditebus oleh Lim Khim Wah-Goh Wei Shem, Mohamad Arif Ab Latif dan Mak Hee Chun-Ong Soon Hock dengan tidak mengecewakan Malaysia apabila menyumbangkan tiga mata seterusnya tanpa banyak masalah untuk memenangi 3-1 menumpaskan Vietnam.
Pemain beregu pertama Khim Wah-Wei Shem menumpaskan pasangan Dao Manh Thang-Bui Bang Duc 21-14, 21-8 untuk mata pertama, sebelum Mohamad Arif mengutip mata kedua dengan menundukkan Le Ha Anh 21-8, 21-10.
Beregu kedua negara Hee Chun-Soon Hock memastikan tiket untuk skuad negara ke saingan seterusnya setelah menumpaskan pasangan Duong Bao Duc-Nguyen Hoang Nam dengan mata kemenangan 21-10, 21-14 yang hanya mengambil masa 19 minit.
Kali terakhir Malaysia memenangi acara berpasukan Sukan SEA adalah di Manila pada 2005. Pada Sukan SEA 2007, kita gagal melayakkan diri ke final selepas hanya menghantar pasukan kedua.
Namun pada temasya di Vientiane, Laos, pasukan negara berjaya ke saingan akhir namun terpaksa akur apabila hanya memenangi pingat perak setelah kalah kepada Indonesia dua tahun lalu.
– BERNAMA

No comments:

Post a Comment