Sunday, 13 November 2011

Cari pemain import berkualiti'


Cari pemain import berkualiti'

PASUKAN bola sepak Terengganu mendapat khabar gembira apabila kerajaan negeri sedia membuat pelaburan besar untuk mendapatkan khidmat pemain import bagi memperkuatkan skuad Penyu dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Keyakinan itu disuarakan sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dengan syarat pemain import yang bakal dibawa nanti berkualiti.
Justeru, Ahmad berharap Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dapat membuat kajian terperinci untuk mengenalpasti pemain import yang layak untuk beraksi dalam skuad negeri.
Beliau menjelaskan, dua pemain import tersebut akan bertindak sebagai pemain tengah (midfielder) dan penyerang (striker).
"Kita tak hadkan dari negara mana. Kita sanggup bayar kalau kita nak dapatkan pemain mahal dan kita tak ada masalah. Kalau dia (pemain import) main hebat, kita bayar lebih lagi.
"Dua pemain import itu akan bertindak sebagai pemain tengah dan penyerang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Rapat 1Malaysia di Taman Awam Batu Buruk dekat sini kelmarin.
Ahmad berkata, kerajaan negeri sedia memberi bantuan kepada persatuan termasuklah mengeluarkan belanja besar iaitu RM6 juta setahun untuk membangunkan sukan bola sepak di Terengganu.
Menurutnya, daripada jumlah itu, RM3 juta untuk keperluan pasukan Terengganu (Penyu) dan RM3 juta lagi untuk T-Team.
Mengenai memorandum bantahan yang beliau terima daripada sebilangan penyokong bola sepak Terengganu yang tidak berpuas hati dengan pengurusan PBSNT, Ahmad bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada persatuan berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
"Saya tak boleh kata apa, terserah pada PBSNT. Tapi kalau tak puas hati dengan presiden (Datuk Che Mat Jusoh), kena buat Mesyuarat Agung lah.
"Tapi kita kena ingat juga selama di bawah beliau (Che Mat), prestasi Terengganu cukup baik sehingga berjaya merangkul juara (Piala FA) dan naib juara (Piala Malaysia) tempoh hari," ujarnya.

No comments:

Post a Comment