Baling Tukul Besi Wanita Raih Emas Pertama
Meskipun terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan tulang belakang, atlet wanita negara Tan Song Hwa masih mampu beraksi cemerlang untuk meraih emas acara baling tukul besi di Stadium Olahraga Kompleks Sukan Jakabaring di sini Sabtu.
Tan yang melakukan balingan sejauh 55.15m mempertahankan emas yang dimenangi pada Sukan SEA Laos dua tahun lepas.
Tan yang mengalami kecederaan itu dua minggu sebelum kejohanan, bagaimanapun enggan menarik diri kerana tidak mahu mensia-siakan latihan sejak sembilan bulan lepas.
“Saya rasa amat lega merangkul emas. Lega juga sebab sekurang-kurangnya sudah ada satu emas dari olahraga,” katanya kepada media negara selepas pertandingan.
Peserta tuan rumah Indonesia, Inggriana Rose Herfinda yang mencatatkan balingan 51.95m membawa pulang perak manakala gangsa menjadi milik Loralie Sermona dari Filipina dengan catatan 49.69m.
Emas daripada Tan menceriakan kem olahraga negara yang gagal menyerlah pada hari pertama acara itu hari ini.
Bermula dengan acara lompat jauh wanita awal pagi tadi, atlet negara Fatimahtul Zahrah Awang sekadar meraih tempat ketujuh.
Pada acara kemuncak 100m lelaki dan wanita pula, atlet Indonesia Franklin Ramses Burumi dan Unani Anaelis Serafi masing-masing dinobatkan Raja dan Ratu Pecut Asia Tenggara.
Pelari negara Mohd Noor Imran Abdul Hadi dan Ambrose Jilon corot di tangga keenam dan kelapan 100m lelaki, manakala Nurul Sarah Abdul Kadir dan Nur Hafiszah Jamaludin pada kedudukan kelima dan kelapan 100m wanita.
Dalam larian berhalangan 3,000m wanita, atlet negara Melinder Kaur terpaksa berpuas hati di tempat keempat dan dalam acara yang sama kategori lelaki peserta negara J.Karthik dan Ahmad Lutfi Hamizan menduduki tangga tercorot.
Sementara itu, acara lontar peluru lelaki yang disertai jaguh negara Adi Alifuddin Hussin ditangguhkan pagi esok kerana hujan lebat.
– BERNAMA
No comments:
Post a Comment