SELAMAT DATANG KE KAKI BOLA NETWORK
NASIB Liga Super Indonesia (ISL) masih belum pasti namun penyerang sensasi negara, Mohd Safee Sali menetapkan pendirian untuk terus memikul tanggung jawab selaku kapten kelab Pelita Jaya FC.
Malah di sebalik kebimbangan kemungkinan liga itu akan diharamkan selepas tidak mendapat pengiktirafan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Safee, 27, turut menyuarakan minatnya untuk menyambung kontrak baru bersama kelab itu apabila kontraknya tamat 31 Januari tahun depan.
“Saya kena pikul tanggung jawab sebagai kapten Pelita Jaya dan memastikan Pelita Jaya mampu bersaing merebut kejuaraan Liga Super.
“Mengenai kemelut dalaman PSSI, saya serahkan kepada pihak pengurusan. Sebagai pemain profesional, saya cuma mahu bermain bola sepak dan terus menyarung jersi kebangsaan. Tapi kalau masalah ini memberi kesan kepada pemain, memang saya risau juga,” katanya yang mengadakan sidang media khas bersama pengurusnya, Zakaria Rahim di ibu negara semalam.
Menurutnya, sejak Julai lalu, dia mendapat banyak tawaran daripada kelab Jerman, Belgium, Thailand, India, Vietnam dan Kazakhstan namun setakat ini hanya mengadakan perbincangan serius bersama Pelita Jaya.
Malah antara kandungan kontrak baru yang dibincangkan itu adalah untuk menyerapkan Safee ke kelab Liga Australia, Brisbane Roar atau kelab Liga Divisyen Dua Belgium, RCS Vise yang dimiliki pemilik Pelita Jaya, Kumpulan Bakrie jika ISL diharamkan.
“Saya masih berminat terus bermain di sana (Pelita Jaya), mengenai tawaran lain masih belum ada yang berbincang secara serius. Namun setakat ini saya masih membuka sebarang perbincangan dengan mana-mana kelab cuma saya hanya berminat untuk menyertai kelab yang betul-betul profesional saja,” jelas Safee yang pulang ke Jakarta semalam untuk menyertai semula latihan pasukannya hari ini.
Isu kedudukan Safee, wira negara ketika menjulang trofi Piala Suzuki AFF Disember lalu timbul apabila ISL yang disertai Pelita Jaya akan diharamkan oleh Fifa selepas PSSI hanya mengiktiraf Liga Primer Indonesia (IPL) sebagai liga utama.
Jika liga itu diharamkan, Safee yang meledak 7 gol dalam 14 perlawanan pada musim pertamanya bersama Pelita Jaya juga tidak akan dapat mewakili skuad kebangsaan.
No comments:
Post a Comment