Sunday, 13 November 2011

Malaysia Julang Piala Sultan Johor tewaskan Australia 3 – 2


Malaysia Julang Piala Sultan Johor tewaskan Australia 3 – 2

Imbas Kembali Aksi Skuad Hoki B-23 Menewaskan Korea Selatan Tempoh Hari
Malaysia melakukan jaringan emas pada masa tambahan untuk merangkul kejuaraan hoki bawah 21 tahun Piala Sultan Johor apabila mengejutkan Australia 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Taman Daya di sini.
Jaringan emas ketua pasukan Muhammad Noor Faeez Ibrahim melalui pukulan sudut penalti pada minit ketiga masa tambahan menceriakan skuad Projek 2013 itu untuk menempa nama sebagai pemenang kejohanan yang julung kali dianjurkan.
Muhammad Noor Faeez muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol manakala penjaga gol Mohamad Hazrul Faiz mendapatkan anugerah Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Muhammad Noor Faeez turut menghidupkan semula peluang untuk memburu gelaran apabila menyamakan kedudukan 2-2, seminit sebelum wisel penamat.
Sebelum itu, Australia, yang menjadi pasukan pilihan utama, menghasilkan gol pembukaan pada minit ke-11 menerusi Dylan Wotherspoon.
Bagaimanapun, Malaysia, yang menebus kekecewaan 1-2 kepada Australia pada pusingan awal, memberi saingan sengit dan menguasai perlawanan babak pertama tetapi gagal membuat penyudah pada minit ke-20 menerusi Mohd Ramadhan Rosli dan Mohd Fitri Saari tiga minit kemudian.
Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mohd Fitri pada minit ke-43.
Jaringan tersebut memberikan semangat kepada anak buah jurulatih Muhammad Dharma Raj namun Australia lebih cekap mendapatkan jaringan gol pada minit ke-59 melalui Jack Wallace untuk mendahului 2-1..
Kemenangan Malaysia diraikan lebih 8,000 penonton termasuk Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Presiden Persatuan Hoki Malaysia (PHM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Terdahulu itu, Korea Selatan menduduki tempat ketiga selepas melakukan jaringan emas untuk menumpaskan India 3-2 manakala Pakistan menduduki tempat kelima dengan mengatasi New Zealand 2-0.
– BERNAMA

No comments:

Post a Comment