Thursday, 10 November 2011

Australia tepati ramalan ke final


Australia tepati ramalan ke final


BEBERAPA pemain Australia meraikan kemenangan 6-3 pasukan itu ke atas Korea Selatan semalam.


AUSTRALIA menepati ramalan apabila menempah tiket ke pentas akhir pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Piala Sultan Johor selepas menewaskan Korea Selatan 6-3 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam.
Turun selaku pasukan pilihan, Australia bagaimanapun gagal mempamerkan aksi menarik pada babak pertama bagi membolehkan Korea Selatan mendahului 1-0 pada minit ke-24 melalui Yoon Dong Hyeon yang membuat pukulan kemas menewaskan penjaga gol, Edward Chittleborough.
Sebaik babak kedua bermula, Korea Selatan terus mengasak sehingga menghasilkan gol kedua melalui Hyun Ji Gwang pada minit ke-40.
Begitupun, Australia yang menang semua perlawanan setakat ini, kembali bangkit apabila membalas jaringan dua minit kemudian hasil jaringan sudut penalti, Tyler Cowley.
Korea Selatan menambah jaringan pada minit ke-44 menerusi Seo In Woo tetapi permainan mula berubah apabila Australia yang dibimbing Paul Gaudoin mula menukar rentak permainan lebih agresif untuk menambah lima lagi jaringan.
Josh Walters merapatkan jurang 2-3 pada minit ke-49 sebelum Flyn Ogilvie menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-50. Australia mendahului buat kali pertama pada minit ke-53 apabila Dylan Wotherspoon menjaringkan gol untuk kedudukan 4-3.
Keadaan menjadi tegang seketika pada minit ke-55 apabila pengadil, Mark Rippin dari New Zealand melayangkan kad kuning kepada penjaga gol Korea selatan, Lee Se Young kerana menjatuhkan penyerang Australia, Walters serta menghadiahkan pukulan penalti kepada skuad Kanggaru.
Tanpa banyak pilihan, kapten Korea Selatan, Yang Ji Hun terpaksa menggantikan Se Yong untuk menjaga gawang tetapi gagal untuk menepis pukulan penalti William Shaw.
Bagai ingin menghukum Korea Selatan, Australia terus berpesta gol apabila Dylan Wotherspoon menyumbat gol keenam pasukannya pada minit ke-67.
Australia yang mengumpul 12 mata penuh selepas terlebih dahulu menewaskan Malaysia, India dan New Zealand, akan berdepan Pakistan esok sebelum beraksi pada perlawanan akhir Sabtu ini.
Menurut Gaudoin, pasukannya tidak akan mengambil mudah aksi menentang Pakistan meskipun sudah melayakkan diri ke pentas akhir.
“Bagi kami, semua perlawanan sama penting dan kami harus fokus untuk menewaskan Pakistan selepas ini. Kami harus bermain seperti biasa dan tidak boleh terlalu selesa dengan kedudukan ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan semalam.
Sementara itu, pada aksi berasingan, India menewaskan New Zealand 2-1.

No comments:

Post a Comment