Sunday, 1 January 2012

Apek Tak Mahu Lupa Diri

SELAMAT DATANG KE KAKI BOLA NETWORK


Apek Tak Mahu Lupa Diri

PENJAGA gol Kelantan dan kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mengakui kehidupannya berubah berbanding sebelum dia bergelar pemain bola sepak negara.
Bagaimanapun, dia yang lebih dikenali sebagai Apek tetap tidak lupa diri walaupun menjadi perhatian ramai kerana matlamat asalnya adalah berjaya dalam karier bola sepak.
“Saya hargai sokongan media dan orang ramai kepada saya selama ini, malah saya tidak boleh lari daripada menjadi perhatian atau pandangan serta tumpuan ramai sejak berkecimpung sebagai pemain bola sepak.
“Sebagai pemain, saya akui hidup berubah, tapi ia tidak menjejaskan tumpuan saya untuk berjaya dalam karier bola sepak,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran jersi, barangan dan logo pasukan The Red Warriors (TRW) 2012 di Pusat Dagangan Kelantan (KTC), semalam.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.
Menurut Khairul Fahmi, dia juga tidak tahu bagaimana orang menilainya, tapi berharap diberi sokongan dalam usahanya untuk mencapai kejayaan.
Malah, dia tetap menghormati pandangan dan perhatian diberikan terhadapnya, termasuk penghargaan daripada media tempatan kerana ia satu pengiktirafan untuknya terus berjaya dalam karier bola sepak.
“Saya hormati apa orang ingin katakan terhadap pencapaian saya sebagai pemain bola sepak dan saya hargai sokongan dan perhatian mereka selama ini.
“Saya tetap beri tumpuan utama kepada karier bola sepak kerana ia adalah pilihan hidup saya. Saya mahu buat yang terbaik sebagai penjaga gol negeri dan kebangsaan,” katanya. Khairul Fahmi berkata, walaupun menjadi perhatian umum, ia tidak menjejaskan tumpuannya dan akan terus berusaha meningkatkan lagi pencapaiannya musim depan. “Bagi saya pengiktirafan pelbagai pihak termasuk akhbar berhubung sumbangan saya kepada bola sepak amat saya hargai dengan baik dan akan berusaha melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Saya tetap fokus dengan tugas saya sebagai penjaga gol pasukan Kelantan dan kebangsaan dan saya harap mampu meningkatkan lagi pencapaian saya musim depan,” katanya.
Bagaimanapun, penjaga gol berasal dari Kampung Cherang, Kota Bharu itu banyak berdiam diri ketika diajukan soalan berkaitan peribadi, sebaliknya senang menjawab pertanyaan mengenai karier bola sepak yang diceburinya.

No comments:

Post a Comment