SELAMAT DATANG KE KAKI BOLA NETWORK
Liverpool Kurang Keyakinan Diri
Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish menegaskan para pemain skuad The Reds perlu memiliki keyakinan diri yang tinggi bagi meneruskan kempen Liga Perdana England musim ini.
Dalglish menyuarakan pendapat tersebut selepas Liverpool sekadar seri 1-1 dengan Blackburn Rovers di Anfield kelmarin.
Keputusan itu telah menyukarkan laluan Liverpool menamatkan saingan liga musim ini sekurang-kurangnya dalam kelompok empat pasukan teratas.
Sebelum ini, skuad The Reds turut mensia-siakan peluang bagi mengutip mata maksimum apabila hanya mampu memperoleh empat mata berdepan tiga pasukan terbawah carta liga.
Ketika ini, Liverpool kekal di tangga keenam selepas mengumpul 31 mata daripada 18 perlawanan.
“Kami (Liverpool) hanya perlu yakin pada diri sendiri.
“Ia adalah perkara sama seperti yang saya katakan selepas beberapa perlawanan di sini (Anfield). Kami sebenarnya memiliki peluang yang cerah bagi mencatat kemenangan.
“Pemain-pemain telah mempamerkan persembahan yang baik tetapi tetap gagal memanfaatkan beberapa setiap peluang yang dimiliki bagi menjaringkan gol.
“Penjaga gol mereka (Blackburn) telah beraksi sangat baik apabila berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya kami terutama pada lewat babak perlawanan. Sebelum itu dia juga cemerlang menggagalkan beberapa percubaan kami,” kata Dalglish.
Pada aksi tersebut, Blackburn mengejutkan Liverpool apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-45.
Namun, ia hasil jaringan sendiri tonggak pertahanan skuad The Reds, Charlie Adam.
Mujur, anak-anak buah Dalglish kembali bangkit apabila menyamakan kedudukan menerusi Maxi Rodriguez minit ke-53. – AFP
No comments:
Post a Comment