PIALA MALAYSIA DIBAWA KE ISTANA SERI MENANTI.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mempersembahkan Piala Malaysia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan  Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada jamuan teh petang di Istana Besar Seri Menanti di sini. Turut hadir pada majlis itu ialah pegawai dan pemain skuad Rusa diketuai pengurus pasukan Datuk Abd Halim Abd Latif, ketua jurulatih Azraai Khor Abdullah dan ketua pasukan Shukor Adan.
Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia edisi ke-85 setelah mengalahkan Terengganu dengan kemenangan tipis 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Selangor pada 29 Okt lepas. Kali terakhir Negeri Sembilan menjulang piala itu ialah pada 2009 setelah menumpaskan Kelantan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pada tahun lepas, Negeri Sembilan sekali lagi bertemu Kelantan di perlawanan akhir Piala Malaysia, namun tewas 1-2 di stadium yang sama.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohamad yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berkata Tuanku Muhriz melahirkan rasa bangga dengan kejayaan pasukan Negeri Sembilan.
“Tuanku berpesan kalau boleh Piala Malaysia ini disimpan di Negeri Sembilan untuk tahun depan. Baginda juga menyarankan agar pemain skuad Rusa terus bermain cemerlang dan mengharumkan nama Negeri Sembilan,” katanya